Pilih Bahasa

Apakah SPA

0 comments




Tentang SPA

Ramai yang tidak jelas akan makna sebenar spa kerana sesetengah rawatan yang ditawarkan pengusaha tertentu tidak lain daripada perkhidmatan yang disediakan di salun-salun biasa. Sebenarnya, spa menawarkan perkhidmatan yang unik dan eksklusif.

Perkataan "spa" adalah singkatan daripada perkataan `Solus Per Aqua' daripada bahasa Latin yang bererti penyembuhan dengan air, iaitu konsep perawatan yang telah diperkenalkan sejak tahun 400 SM di Rom, iaitu pada zaman Hipokrates. Pada zaman itu, pancutan air panas semulajadi digunakan oleh askar-askar untuk merehat dan merawat badan daripada keletihan dan luka selepas perang.

Spa tertua Romawi masih wujud di Merano, Itali hingga kini, yang membuktikan kemujaraban dan populariti mata air panas semula jadi itu sebagai bahan terapi.

Di Bath, England, spa dikatakan sudah wujud sejak kurun ke-18, menggunakan mata air panas semulajadi dengan tahap suhu setinggi 120 darjah Fahrenheit. Kebanyakan spa di benua Eropah yang dibuka pada kurun ke-18 dan 19 dikelilingi pemandangan indah seperti gunung dan tasik.

Di Amerika Syarikat, spa tertua terletak di Saratoga Hot Springs, New York, yang pada asalnya digunakan oleh kaum pribumi Mohawk di Amerika Utara. Pada sekitar 1970, spa itu telah dikomersilkan dengan penyediaan beberapa kemudahan seperti penginapan dan perkhidmatan lain yang berkaitan.

Di Asia, spa masih lagi pada peringkat pengenalan, dan pembangunan sektor ini belum begitu ketara. Namun begitu, telah menjadi amalan turun-temurun masyarakat Asia mengunjungi kawasan kawah atau mata air panas semulajadi untuk mandi dan berendam kerana dipercayai sumber air panas ini mempunyai kelebihan menyembuhkan penyakit.

Kini, masyarakat umum di Malaysia semakin menyedari pentingnya hidroterapi dalam meningkatkan tahap kesihatan dan mula menjadikan spa sebagai salah satu tempat kunjungan utama bagi rawatan kesihatan.

Daripada segi jantina pula, lebih ramai wanita mengunjungi spa berbanding lelaki. Menurut statistik, nisbah pengunjung spa di wanita berbanding lelaki adalah 60:40.


SUMBER: Bernama

Post a Comment